KUALA LUMPUR- Pelakon, Puteri Aishah menggeletar satu badan apabila ujian mengesahkannya bebas wabak COVID-19 selepas hampir dua minggu dirawat dan dikuarantin di Hospital Sungai Buluh (HSB).
Bintang filem Pulang itu berkongsi berita gembira menerusi video yang dimuat naik dalam Instagram (IG) pada petang tadi. Dia tidak mampu menyembunyikan perasaan syukur menerusi reaksi wajah ketika merakam video berkenaan.
“Allahuakbar. Apabila jururawat bernama Kak Zue cakap keputusan negatif terus menggeletar satu badan.
“Rasa syukur dan gembira sangat. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Ya Allah,” kongsinya.
Selepas 11 hari dimasukkan ke HSB, Puteri lega dengan keputusan yang dinantikan sekian lama.
“Saya menjalani ujian buat kali kedua, kira-kira jam 12 tengah hari ini. Tak lama kemudian, jururawat beritahu saya negatif.
https://www.instagram.com/p/B_HM3w_Dxij/
“Doktor juga mengesahkan saya bebas COVID-19. Saya berjaya lawan virus bahaya ini,” kongsinya.
Pelakon Selafaz Cinta dan Utusan Cinta Buat Adam itu berkata, dia dibenarkan keluar HSB, hari ini dan berterima terima kasih kepada peminat yang mendoakan kesihatannya.
“Alhamdulillah, Syukur. Terima kasih sebab mendoakan saya.
“Tak lupa juga buat doktor dan jururawat yang menjaga dan merawat selama saya di HSB. Saya amat menghargainya,” katanya.
