KUALA LUMPUR – Peperiksaan kendalian Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) bagi sesi persekolahan tahun 2020 yang dijadual pada 28 September hingga 1 Oktober dibatalkan susulan penularan wabak COVID-19.
Susulan keputusan itu, JAWI akan menetapkan satu kaedah pentaksiran baharu bagi menggantikan ujian bertulis itu yang mengukur tahap penguasaan murid kepada ilmu diniyah.
JAWI dalam kenyataan berkata, semua sesi persekolahan Sekolah Rendah Agama (SRA), Sekolah Integrasi Rendah Agama Jawi (SIRAJ) dan KAFA juga akan mengikut ketetapan Kemente rian Pendidikan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid serta guru terjamin.
Pembatalan UPSRA tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid kepada ilmu diniyah yang diikuti bermula dari Tahun 1 hingga Tahun 6 kerana kebolehan murid dalam pendidikan ilmu diniyah ini mampu dinilai melalui pelbagai kaedah.
“Justeru, bagi tujuan ini, JAWI akan menetapkan satu kaedah pentaksiran baharu bagi menggantikan ujian bertulis itu kepada murid,” kata JAWI dalam kenyataan itu hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan membuat keputusan membatalkan peperiksaan awam bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2020 pada 15 April lalu.
Selain itu, JAKIM turut membuat keputusan membatalkan pelaksanaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi subjek bertulis yang dijadual pada 28 September hingga 1 Oktober ini di seluruh negara.
JAWI merakamkan penghargaan kepada semua guru yang mengambil pelbagai inisiatif dalam memastikan penyampaian pengajaran dan pembelajaran (PdP) tetap dilaksanakan kepada kira-kira 63,000 pelajar di SRA, SIRAJ dan KAFA bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
