Terkini

Kerajaan batal ambil alih empat lebuh raya

KUALA LUMPUR – Kerajaan membatalkan perancangan mengambil alih empat lebuh raya di Lembah Klang daripada Gamuda Berhad (Gamuda) membabitkan nilai RM6.2 bilion, yang ditawarkan pada 2019.

Empat lebuh raya terbabit ialah Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT), KESAS Sdn Bhd dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira bebanan yang perlu ditanggung kerajaan untuk melaksanakan pengambilalihan itu.

Bagaimanapun, Fadillah berkata, kerajaan sedang meneliti cadangan terbaharu daripada Gamuda dan syarikat pengendali lebuh raya dalam bandar yang lain, bagi menggantikan penyelesaian jangka panjang membabitkan isu tol.

Berdasarkan cadangan itu, katanya, kadar tol di lebuh raya tidak akan dinaikkan sehingga tamat tempoh konsesi, namun tempoh konsesi mungkin dilanjutkan.

“Kabinet sudah putuskan bahawa kerajaan tidak akan ambil alih empat lebuh raya Gamuda disebabkan bebanan yang perlu ditanggung oleh kerajaan.

“Namun, Gamuda membuat cadangan baharu seperti yang dilakukan di Lebuhraya PLUS, iaitu kadar tol ditetapkan, tetapi (tempoh konsesi) diberikan lanjutan.

“Perkara ini sedang dinilai oleh Kementerian Kerja Raya, Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Kementerian Kewangan dan apabila ada keputusan, kita akan umumkan,” katanya ketika ditemui media selepas Sesi Libat Urus Menteri Kanan Kerja Raya Bersama Ketua Editor Media di sini, hari ini.

Pada Jun 2019, Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) mengemuka tawaran pengambilalihan kepentingan dalam empat pengendali lebuh raya milik Gamuda membabitkan nilai RM6.2 bilion.

Tawaran itu membabitkan RM2.47 bilion untuk LITRAK, SPRINT (RM1.984 bilion),KESAS (RM1.377 bilion) dan SMART (RM369 juta).

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, kerajaan turut menerima cadangan seumpamanya daripada Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas), yang memegang konsesi Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE), Lebuh Raya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuh Raya Kajang SILK (SILK), Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Ditanya sama ada kemungkinan lanjutan turut diberikan kepada lebuh raya yang bakal tamat tempoh konsesi, Fadillah berkata, kerajaan akan meneliti cadangan itu secara menyeluruh sebelum membuat keputusan.

Beliau berkata, penyelesaian yang bakal dilakukan kerajaan bukan saja khusus untuk lebuh raya milik Gamuda, malah untuk semua lebuh raya dalam bandar bagi menyelesaikan isu membabitkan tol yang dibangkitkan pengguna.

“Cadangan supaya semua tol ditetapkan pada satu kadar hingga tamat konsesi bukan saja untuk Gamuda, tapi juga Prolintas dan lain-lain.

Melalui kaedah ini, kerajaan tidak perlu lagi bayar pampasan (untuk lanjutan tempoh konsesi supaya kadar tol tidak dinaikkan), dan tidak membebankan rakyat kerana kadar tol ditetapkan.

“Kita mahu atasi isu pengguna tidak puas hati, ada yang tak mahu tol dan ada yang boleh bayar tapi pada kadar yang munasabah.

“Namun kalau dibayar tol, tapi lebuh raya sesak, ini menimbulkan rasa tidak puas hati. Jadi, kita akan tengok keseluruhan penyelesaiannya berdasarkan maklum balas pengguna,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: