Politik

Sidang Parlimen hibrid agak sukar dilaksanakan

PASIR GUDANG – Sesi Parlimen hibrid yang dicadangkan mustahil untuk dilaksanakan kerana memerlukan pindaan ke atas Perlembagaan dengan kelulusan majoriti dua pertiga ahli Parlimen.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, pindaan terhadap Perkara 62(5) perlu dilakukan namun sukar dilaksana pada ketika ini.

“Ini sukar dicapai dalam keadaan sekarang. Saya lebih menyokong sidang Parlimen secara biasa diadakan memandangkan semua Ahli Parlimen telah mendapat suntikan vaksin Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau keadaan jalan yang rosak di Lebuhraya Pasir Gudang di sini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim sebelum ini mencadangkan persidangan khas Parlimen diadakan pada awal Ogos untuk membincangkan bagaimana sesi Parlimen hibrid boleh diadakan.

Kedua-duanya kemudian dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa dan pertemuan itu difahamkan bagi membincangkan mengenai persidangan Parlimen sebelum tempoh darurat berakhir pada 1 Ogos ini.

Perintah darurat yang berkuat kuasa 12 Januari lalu turut menyebabkan sesi Parlimen dan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ditangguhkan.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa memanggil semula sidang Parlimen di bawah peruntukan Perkara 55 (1) Perlembagaan Persekutuan dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu tanpa bersidang.

“Semasa tempoh darurat sekarang Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa di bawah Seksyen 14(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen perlu dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Seksyen 14(b) tersebut menyatakan tarikh ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong, bukan Perdana Menteri. Turut disebut yang difikirkan sesuai ertinya Yang di-Pertuan Agong yang berfikir bukannya tunggu nasihat Perdana Menteri,” katanya.

Sementara itu, beliau mencadangkan supaya kerja-kerja menampal lubang jalan di Lebuh Raya Pasir Gudang menggunakan bahan lebih berkualiti kerana masalah kerosakan tersebut tidak pernah selesai sejak dahulu.

Katanya, kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan RM10 juta baru-baru ini namun tidak sampai beberapa bulan jalan akan kembali berlubang terutama dari Taman Rinting sampai ke Permas Jaya.

“Kita tidak mahu menyalahkan sesiapa tetapi kos yang digunakan untuk membaiki kerosakan adalah duit kerajaan dan duit rakyat. Semua ini untuk keselamatan dan keselesaan rakyat,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: