KUALA LUMPUR – Cadangan Kerajaan untuk melaksanakan larangan penjualan vape yang bakal dibentangkan di Parlimen pada bulan Julai ini adalah tidak adil untuk industri vape tempatan, kata Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA) Presiden MVIA, Rizani Zakaria berkata vape dan rokok adalah dua produk yang berbeza dan tidak patut dikenakan dengan peraturan yang sama.
“Keputusan yang dibuat KKM untuk menyamakan industri vape dan industri rokok dengan mengenakan larangan tersebut untuk kedua-dua produk adalah tidak adil buat industri vape. Di peringkat antarabangsa, pelbagai kajian telah menunjukkan kedua-dua produk adalah berbeza.
Malah, telah terbukti produk vape adalah kurang mudarat berbanding rokok tembakau dan membantu perokok berhenti merokok.”
Agensi kesihatan di negara UK, Public Health England telah melaporkan bahawa produk vape adalah 95% kurang mudarat berbanding rokok dan perkara ini turut diiktiraf negara lain seperti Kanada, New Zealand dan pelbagai badan kesihatan awam di seluruh dunia. Malah, baru-baru ini di negara UK, produk vape juga telah dicadangkan untuk menjadi alat rawatan pemberhentian merokok.
Katanya lagi, walaupun bukti-bukti tersebut telah dibangkitkan pelbagai pihak, pihak KKM masih lagi bertegas dan enggan untuk melihat sains dan fakta yang dikeluarkan di tahap antarabangsa.
“MVIA cadangkan KKM dan Kerajaan untuk ambil langkah yang telus dalam perkara ini dan mendapatkan pandangan dan bukti daripada pakar perubatan awam dari luar negara seperti UK, New Zealand, Kanada dan bukannya memilih untuk mendengar pendapat daripada pihak anti-industri vape sahaja.”
Rizani turut berkata peraturan untuk industri vape telah tertangguh sekian lama sejak 2015. Malah, menurut pengumuman dalam pembentangan Bajet 2022, cukai dan peraturan bagi vape sepatutnya dikuatkuasakan pada Januari tahun ini.
“Sehingga kini masih tiada apa-apa tindakan yang diambil. KKM tidak mengeluarkan sebarang garis panduan untuk industri untuk bersiap-sedia dengan peraturan serta tidak menjalankan sesi konsultasi yang telus dengan pihak industri,” kata Rizani.
Pada pembentangan Bajet 2022 yang lepas, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengumumkan Kerajaan bakal melaksanakan cukai sebanyak RM1.20 per mililiter untuk cecair vape dan sepatutnya berkuatkuasa pada Januari 2022, namun telah ditangguhkan pada satu tarikh yang belum pasti kerana KKM masih lagi belum membuat peraturan untuk industri vape.
“Sebelum ini, pihak industri telah memberikan pandangan bahawa cukai yang diumumkan tersebut adalah agak tinggi dan memohon Kerajaan mengkaji semula kadar cukai tersebut. Ini akan membuatkan produk vape meningkat dengan mendadak dan memberikan kesan kepada industri.
“Sehingga kini, kami masih tidak mendapat respons daripada Kerajaan berkenaan perkara ini. Dan sekarang, KKM pula ingin mencadangkan larangan penjualan vape untuk jangka masa panjang.
Industri vape memohon agar Kerajaan membuat lebih banyak perbincangan berkenaan dengan polisi untuk industri vape dan kami sentiasa terbuka kepada sebarang perbincangan demi kepentingan bersama,” katanya.