Kuala Lumpur – Berdepan 25 pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001 membabitkan wang berjumlah RM1.8 juta ternyata ia bukan satu perkara mudah untuk dihadam. Malah sama sekali tidak pernah menjangka akan berlaku dalam kehidupan.
Zuriati Mohamed Yusoff, 49, atau lebih dikenali sebagai Ibu Takaful ibarat jatuh terduduk selepas dituduh dan segala apa yang dikecapi sepanjang 22 tahun dalam bidang insurans lenyap sekelip mata.
“Dahulu saya berada di puncak, saya ada segala-galanya kereta mewah, rumah banglo, pendapatan yang tinggi namun sekarang saya hanya mampu menyewa rumah dan meminjam kereta Viva kakak untuk bergerak kemana-mana”
“Bayangkan dari seorang yang tidak mempunyai masalah wang, kini keadaan menjadi sebaliknya apabila akaun saya dibekukan”, katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato Onn di sini pada Selasa.

Beliau berkata, pada masa ini masih lagi buntu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk kelangsungan hidup. Namun, kini beliau bergerak aktif di aplikasi Tik Tok untuk konten motivasi dan berkongsi ilmu takaful kepada pengikutnya.
“Alhamdulillah, suami dan anak-anak tidak putus-putus memberikan dorongan dan semangat untuk saya memulakan hidup baru, dengan semangat ini saya merasakan seolah-olah mati hidup semula.
“Apa yang saya lalui bukan satu jalan mudah, sehingga sampai satu tahap saya mengalami tekanan perasaan disebabkan pelbagai kata-kata negatif dilontarkan kepada saya” ujarnya lagi.
Beliau kini menarik nafas lega selepas mencapai kemenangan pertama apabila dibebas dan dilepaskan oleh mahkamah dari semua pertuduhan berkenaan pada 10 Mac lalu. Kemenangan itu memberi cahaya selepas kejatuhan yang paling gelap dalam hidupnya melalui empat tahun perbicaraan, sembilan hari secara keseluruhannya merangkumi 24 saksi pendakwaan yang memberi keterangan terhadap pertuduhan ke atasnya.
Sementara itu, peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid berkata, anak guamnya telah didakwa menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram.
“Anak guam saya didakwa memperdaya seorang individu bergelar VVIP bagi mendapatkan satu cek bernilai RM1,849,719.75 dengan memalsukan resit pembelian enam polisi insurans yang mana adalah tidak wujud.
“Perbicaraan yang telah berlangsung selama sembilan hari secara keseluruhannya merangkumi keterangan yang diberikan 24 saksi pendakwaan sebelum Hakim Mahkamah Sesyen mengarahkan anak guam saya untuk membela diri. Enam saksi telah dikemukakan oleh anak guam saya di peringkat pembelaan termasuk seorang saksi pakar,” katanya.
Jelas beliau, setelah hampir dua minggu selepas penghakiman dikeluarkan, anak guamnya bersyukur dengan perintah pelepasan dan pembebasan ke atas kesemua pertuduhan.
“Perjuangan beliau secara keseluruhan membuktikan setiap ejen Unit Amanah dan Takaful di Malaysia mempunyai hak untuk berjuang atas segala tuduhan pelanggan mereka di mahkamah,” jelasnya.
Tambah Wan Azmir, anak guamnya akan mempertimbangkan proses seterusnya sama ada mengambil tindakan saman terhadap pihak yang mendakwanya.
“Secara lazimnya, pihak pendakwaraya akan merayu untuk kes ini bagaimanapun kita lihatlah apa tindakan selanjutnya, “katanya.
Zuriati turut menambah, tindakan berani tampil ini bagi menjelaskan kebenaran agar orang lain turut bangkit dan tidak menyerah kalah dalam kehidupan.

“Ini langkah pertama saya untuk membersihkan nama saya dan keluarga, ketika saya didakwa saya hilang segala-galanya, ribuan komen cacian dan makian daripada netizen yang tak sanggup saya baca. Sehingakan saya dinasihat oleh peguam untuk tidak membaca atau melihat semua news mahupun media sosial” tambahnya dengan nada sebak.
Jelasnya lagi, ketika di puncak beliau mempunyai sikap ego dan sombong dan merasakan setiap perkara mampu dilakukan sendiri namun telahannya silap dan membuatkan dirinya semakin jatuh.
“Saya ego, saya rasa saya mampu hadapinya sendiri. Pada awalnya saya tidak menggunakan khidmat peguam kerana saya sama sekali tidak melakukan perkara yang dituduh namun saya akui itulah kesilapan besar yang saya lakukan”.
“Hidup kita kena ada mentor, kena ada orang kita boleh rujuk, tunjuk jalan, kita tak boleh rasa kita sahaja yang betul kena terima pandangan nasihat orang lain,” katanya yang kini meneruskan kehidupan sebagai jurulatih (coach) ejen insurans.
Mengikut pertuduhan pertama, Zuriati yang juga bekas pengarah sebuah syarikat agensi insurans didakwa menerima wang berjumlah RM1,849,719.75 yang merupakan hasil aktiviti haram ke dalam akaun semasa bank milik syarikat Millionaire Synergy Sdn Bhd.

Bagi empat pertuduhan, Zuriati didakwa menggunakan wang antara RM20,000 hingga RM90,000 melalui cek bank sebagai pembayaran kepada dirinya dan seorang individu lain.
Manakala, bagi 20 pertuduhan lain, tertuduh didakwa memindahkan wang antara RM10,000 hingga RM435,080 daripada akaun semasa syarikat itu ke dalam akaun miliknya dan 17 individu berbeza.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Kota Damansara, Petaling Jaya antara 21 Mei hingga 6 Julai 2018. Pendakwaan terhadap Zuriati dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).