KUALA LUMPUR – Gabungan lima pereka fesyen dalam mengetengahkan motif bunga lado pada songket adalah bagi memudahkan promosi memperkenalkan ia ke seluruh dunia menjadi lebih mudah.
Pereka fesyen, Anuar Faizal berkata usaha itu diketengahkan olehnya sebagai satu inisiatif agar motif bunga lado ini terus dikenali.

“Antara lima pereka fesyen tersebut adalah dirinya sendiri, Amar Zain, Farah Rahim, Lenny Hartono dan Ishiz Studio.
“Kita nak orang luar lebih cepat mengenali motif tenun kita, dan penglibatan lima pereka fesyen ini akan mempersembahkan karya mereka dan bebas menggunakan motif ini” katanya.

Jelasnya lagi, keistimewaan songket yang dipersembahkan ini adalah ianya ditenun oleh banduan penjara Marang.
“Kita ada 320 penenun sekarang yang begitu mahir dengan motif bunga lado dan kepakaran hasil tangan mereka cukup halus.
“Ini merupakan satu lagi inisiatif yang baik kepada para banduan mahir tenun ini meneruskan khidmat mereka menjana pendapatan.apabila dibebaskan nanti” ujarnya dalam sidang media selepas majlis pelancaran CIMB Artober Art and Soul di MITEC,disini hari ini.
Dalam majlis sama, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan melancarkan pameran ini menandakan permulaan satu acara seni terbesar di Malaysia yang bertujuan menonjolkan artis berbakat dalam negara.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada jam 11 pagi yang diiringi Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain, disambut oleh Pengerusi Kumpulan CIMB, Tan Sri Mohd Nasir Ahmad.

Sebaik tiba Raja Zarith Sofiah meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat galeri dan berinteraksi dengan artis serta pempamer.
Seri Paduka Baginda turut menghadiri pertunjukan fesyen bertajuk Bunga Lado oleh Royal Sembilan, yang diiringi muzik orkestra dan nyanyian oleh pemenang CIMB Rising Start ASEAN Nuril atau Sharifah Nurilmuhayati Syed Hussain.
Lebih 30 koleksi menggunakan reka bentuk broked tradisional Malaysia oleh lima pereka tempatan termasuk pelajar Kolej Komuniti Pasir Gudang ditampilkan dalam pertunjukkan itu.


Pameran seni dari 25 hingga 27 Okt ini akan berlangsung di Dewan 1, Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini secara percuma.
Pameran tahunan anjuran CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) ini bertujuan menyokong dan memperkasakan komuniti seni Malaysia yang hebat, pada masa yang sama meletakkan negara sebagai hab seni dan budaya bertaraf dunia.
Lebih 1,000 karya seni oleh lebih 100 artis tempatan akan ditampilkan menerusi 20 galeri terkemuka pameran itu, termasuk Taksu, Sareng, Segaris, dan Galeri Puteh.
Acara itu juga akan mempamerkan 30 karya ikonik dari The AFK Collection, sebuah arkib terkenal yang dikhususkan bagi memelihara seni kontemporari Malaysia, termasuk karya Fauzan Omar yang dikenali ramai.
Dalam ucapan aluannya, Mohd Nasir berkata, CIMB Artober telah menjana lebih RM15 juta kepada ekosistem seni tempatan, memanfaatkan sekurang-kurangnya 200 artis sejak penubuhannya.
