Kuala Lumpur – Satu majlis pelancaran lagu OST terbaru berjudul ‘SESAL’ bagi filem Telaga Suriram telah berlangsung hari ini. Lagu yang dinyanyikan oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Norhaliza itu diangkat sebagai lagu tema filem ini yang bakal ditayangkan pada 1 Mei nanti.
Menurut penulis lirik dan komposer, Nurzaidi Abd Rahman, yang juga pernah menggubah lagu tema filem Ombak Rindu menggambarkan ‘SESAL’ menyelami penderitaan seorang ibu yang mencari anak perempuannya yang hilang.
“Lagu Sesal ini menggambarkan dengan kuat serta mendalam unsur keganasan dan ketegangan dalam filem tersebut. Ia juga membawa pendengar merasai kerinduan yang dalam dan kesakitan emosi yang menyentuh jiwa ” katanya.
Filem arahan Osman Ali ini bukan sekadar hiburan, ia adalah cerminan warisan cerita rakyat yang selama ini terpendam di celah-celah sejarah dan kepercayaan kampung.

“Selepas diperdengarkan lagu ini, saya yakin ianya sesuai dinyanyikan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mampu menyampaikan penderitaan emosi seorang ibu yang tidak dapat menemui anaknya yang hilang.
“Alhamdulillah, Datuk Seri bersetuju untuk menyanyikan lagu ini” ujarnya dalam sidang media pelancaran OST Sesal disini hari ini.
Rakaman penggambaran MTV telah dijalankan di Studio Kayangan, dibawah arahan Shuhaimi Zulkefli. Turut melibatkan peranan penerbit bersekutu, Wan Farid Wan Abdullah dan Julian Tan, yang merupakan tulang belakang utama dalam merealisasikan kehadiran Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai penyanyi lagu tema filem ini.
Sinopsis Telaga Suriram
Diangkat daripada inspirasi kisah benar mengenai kanak-kanak yang maut akibat terjatuh ke dalam telaga, Telaga Suriram membawakan perspektif baharu kepada penonton: bagaimana mitos-mitos lama, kepercayaan terhadap entiti ghaib, dan kisah-kisah sakti dari mulut ke mulut terus hidup dalam ingatan masyarakat desa, sekaligus membentuk identiti budaya yang tidak ternilai.

Menurut Osman Ali, filem ini bukan hanya mengangkat unsur seram sebagai daya tarik, tetapi turut mengkritik secara halus bagaimana masyarakat masih terbelenggu dengan kepercayaan lama. Telaga dalam cerita ini bukan sekadar simbol fizikal, ia mewakili ketakutan, rahsia, dan sejarah yang tidak pernah dibongkar sepenuhnya. Malah, Telaga Suriram mengajak penonton merenung sejauh mana kepercayaan turun-temurun mampu mempengaruhi pemikiran dan tindakan masyarakat moden.
Watak-watak seperti Maimon si gadis bisu (lakonan mantap Nabila Huda), serta Inspektor Karmila (Scha Alyahya), mewakili dua kutub—yang satu terperangkap dalam trauma dan tanggapan mistik, dan yang satu lagi cuba mencari kebenaran melalui pendekatan rasional dan profesional.

Penggambaran yang dilakukan di Perlis, Kedah dan Perak bukan sekadar latar, tetapi menjadi ‘watak’ penting dalam mencipta suasana. Kampung tradisional yang menjadi lokasi utama menyumbang kepada nuansa seram yang autentik—bukan melalui CGI atau bunyi efek yang keterlaluan, tetapi melalui suasana alam, kesunyian, dan “roh” sebenar sesuatu tempat.
Dengan barisan pelakon berkaliber seperti Maya Karin, Farid Kamil dan Ellie Suriaty, filem ini mengimbangi lakonan kuat dengan tema yang berat—membuatkan Telaga Suriram lebih daripada sekadar filem komersial; ia sebuah karya budaya.
