Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming tampil memberi respon berhubung dakwaan ada pelanggan membatalkan pesanan produk Rendang Nyet Berapi kerana tidak memenangi hadiah percutian ke New Zealand.
Menerusi perkongsian di Instagram Story, beliau berkata ada yang mempersoalkan mengapa tidak menunggu seminggu sebelum mengumumkan pemenang supaya pelanggan tidak membatalkan tempahan selepas mengetahui keputusan.
Namun katanya, dia memilih untuk mengumumkan pemenang tanpa berlengah adalah untuk tidak menganiaya masa orang lain dan untuk mengelakkan cakap-cakap bahawa pemenang mungkin menggunakan “cable”.
“Pertama sekali saya taknak aniaya masa orang. Kalau senarai pemenang dah ada dekat tangan, saya kena umum terus untuk hormat masa orang yang datang sokong saya.
“Lagi satu kalau saya umum seminggu lambat, orang akan cakap pemenang itu mungkin kabel. Jadi akan ada keraguan di situ.
“Kalau KA tak umum terus, dan awak tunggu bungkusan sampai baru KA umum, itu dah jadi macam cabutan bertuah. KA bukan buat cabutan bertuah, KA buat 5 terpantas. Jadi tak boleh kita umum lambat sedangkan nama pemenang dah ada dalam sistem kita,” katanya dalam satu penjelasan panjang di Instagram Story.
Khairul Aming menegaskan hanya segelintir pelanggan sahaja yang membatalkan pesanan dan keadaan itu adalah normal setiap kali pelancaran produk baharu.
Malah katanya, jumlah pembatalan pesanan juga lebih sedikit dan semua peniaga pun berhadapan dengan isu sama.
“Hakikatnya ramai yang dah dapat dah bungkusan dari semalam. Pasukan KA tingkatkan kepantasan dalam 3 hari kita dah selesai semua penghantaran. Alhamdulillah banyak sangat ulasan positif kita dapat untuk rendang ni,” katanya lagi.
Beliau bagaimanapun memahami sekiranya ada pelanggan membatalkan pesanan kerana tidak memenangi hadiah tersebut.
Katanya, mungkin pelanggannya perlu menggunakan duit untuk perkara yang lebih penting sehingga terpaksa membatalkan pesanan.
“Kalau ada yang batal pesanan sebab tak menang hadiah, KA ok je dia buat macam tu. Sebab mungkin dia nak guna duit tu untuk benda lain yang lagi penting. Giveaway ni KA buat sebagai hadiah untuk pengikut KA.
“Kalau sebab nak sold out laju, KA akan suruh bayar guna e-wallet atau kredit kad lagi lah laju. Tapi KA suruh guna online banking sebab nak sahkan yang pemenang tu adalah dari anda semua yang menyokong KA, bukannya dari scalpers or scammers.
“Dan macam KA cakap sebelum ni, betulkan niat masa membeli. Tapi kalau ada yang nak batal sebab perlukan duit untuk benda lain, tak apa boleh je batal. Mereka tak rugi, KA pun tak rugi sebab stok tu boleh dijual balik,” katanya lagi
Beliau juga berharap penjelasan yang diberikan jelas untuk semua dan menegaskan bahawa beliau sangat mementingkan keberkatan dalam perniagaan.
