IMG_20250909_212713_866

Kuala Lumpur – Anjung Malaysiaku Foodies Fiesta 2025 bakal mencetus fenomena apabila lebih 200 usahawan pelbagai segmen gaya hidup, hiburan dan kulinari berhimpun di Parkir Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dari 12 hingga 16 September ini.

Bersempena cuti sambutan Hari Malaysia, penganjur menjangkakan kehadiran melebihi 100,000 pengunjung sepanjang lima hari festival berlangsung.

Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal, berkata festival berskala besar ini bukan sekadar platform hiburan, sebaliknya menjadi wadah memperkukuh ikatan masyarakat melalui semangat perpaduan dan keusahawanan.

“Setiap lot niaga disasarkan mampu menjana jualan antara RM5,000 hingga RM10,000. Sambutan amat menggalakkan apabila lebih separuh daripada jumlah keseluruhan lot telah ditempah.

“Kami yakin semua slot akan habis sebelum festival bermula,” katanya ketika Majlis Pelancaran Anjung Malaysiaku Foodies Fiesta 2025 di MiCasa All Suites Hotel, di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, semua persediaan telah dirancang dengan baik dengan menitik beratkan keselesaan dan kemudahan bagi pengunjung kurang upaya, warga emas dan wanita mengandung.

“Ruang makan turut disediakan bagi memudahkan pengunjung menjamu selera sambil berhibur dan melakukan ativiti yang disediakan” ujarnya.

Festival ini diadakan bersempena Hari Malaysia 16 September yang merupakan tarikh bersejarah penyatuan Semenanjung, Sabah dan Sarawak membentuk Malaysia pada 1963.

Rayme menegaskan, penganjuran ini adalah simbol kekuatan rakyat Malaysia berbilang kaum, agama dan budaya.

“Kami mahu festival ini menjadi ruang komuniti untuk merapatkan hubungan antara peniaga, pengunjung dan masyarakat umum, selari dengan semangat Hari Malaysia,” jelasnya.

Antara tarikan utama ialah Fun Run Anjung Malaysiaku Foodies Fiesta 2025 pada 16 September yang disertai lebih 1,000 peserta, serta kehadiran Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Festival ini turut menampilkan Konsert Ambang Hari Malaysia dengan barisan artis terkenal termasuk Aina Abdul, Khai Bahar, Hazama, Amylea Adnan, ALPHA Big Stage serta juara Raising The Star, Didie Shazry.

Selain itu, pengunjung juga bakal menikmati pelbagai aktiviti lain seperti ceramah motivasi, rakaman podcast usahawan, persembahan budaya, sesi interaktif komuniti dan aktiviti kecergasan seperti Zumba bersama Anytime Fitness Hampshire.

Sokongan Padu Rakan Strategik & Penaja

Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada semua penaja dan rakan kolaborasi antaranya MiCasa Hotel Kuala Lumpur selaku Hotel Rasmi, Walls, Unifi Business, SimplySiti, Anytime Fitness Hampshire serta Funnel Evo melalui program Buat Saja Podcast Usahawan.

“Kami amat menghargai kepercayaan yang diberikan dan berharap kerjasama ini dapat diteruskan untuk festival akan datang demi memperkukuh ekosistem usahawan, hiburan dan komuniti,” tambah Rayme.

Bagi memudahkan pengunjung, lokasi festival ini mempunyai akses mudah melalui LRT Stesen Bukit Jalil selain kemudahan parkir yang luas bagi menampung kehadiran luar biasa.

Dengan tema “Budaya, Makanan, Perpaduan & Usahawan”, Anjung Malaysiaku Foodies Fiesta 2025 menampilkan sebuah pengalaman nasional yang menyatukan rakyat Malaysia melalui kepelbagaian budaya, sajian kulinari, hiburan dan semangat keusahawanan.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading