Kuala Lumpur – Nama Rayme Zainal sebelum ini dikenali sebagai penyanyi yang pernah menampilkan lagu seperti Andai dan Close To You, malah menyertai pertandingan realiti TV All Together Now pada tahun 2022.
Namun, pada usia 47 tahun, beliau mengakui dunia nyanyian bukan lagi keutamaannya, sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada bidang baharu sebagai penganjur acara.
Menurut Rayme, karier seni kini hanya dijadikan hobi dan sumber pendapatan sampingan, manakala penganjuran acara lebih menjanjikan masa depan yang stabil.
“Buat masa ini saya lebih fokus sebagai pengurus acara kerana rezeki dalam bidang ini lebih berpihak kepada saya.
“Nyanyian saya hanya buat sekadar kerja tambahan. Kalau ada undangan baru saya aktif semula, malah saya juga ada perancangan mengeluarkan single terbaru,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Anjung Malaysiaku Foodies Fiesta 2025 serta pengumuman penaja di MiCasa All Suites Hotel, Kuala Lumpur, hari ini.
Dari Bazar Ramadan ke Foodies Fiesta
Rayme bukan orang baharu dalam dunia penganjuran. Ramadan lalu, syarikat miliknya Raydiates Blue Sdn. Bhd. berjaya menganjurkan Bazar Aidilfitri Anjung Syawal di bawah Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2025 selama 33 hari.
Bazar raya terbesar di Lembah Klang itu mencatat kejayaan luar biasa apabila lebih 300 peniaga yang terlibat berjaya menjana jualan RM10 juta sepanjang berlangsung.
“Kejayaan itu jadi pemangkin untuk saya melangkah lebih jauh dalam industri ini. Kami bukan sekadar menganjurkan acara makanan dan hiburan, tetapi mahu menjadikannya platform memperkasa usahawan tempatan, menyatukan komuniti dan mengangkat keunikan budaya Malaysia,” jelasnya.
Sasar Penganjuran Antarabangsa
Mengulas lanjut, Rayme menyasarkan penganjuran acara bertaraf antarabangsa pada tahun depan dalam usaha menyokong industri pelancongan negara.
“Kami mahu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan berkelas dunia melalui festival seni dan budaya dengan sokongan agensi kerajaan serta kolaborasi sektor korporat,” katanya.
Dengan hala tuju baharu ini, Rayme Zainal membuktikan bahawa karier seni tidak semestinya berakhir di pentas hiburan, sebaliknya boleh menjadi jambatan kepada kejayaan dalam bidang penganjuran acara berskala besar seperti Anjung Malaysiaku Foodies Fiesta 2025.
