Putrajaya – Dua jenama tempatan yang cukup dikenali ramai, Mamee Monster dan Christy Ng tampil dengan kerjasama mengejutkan yang menyatukan dunia makanan dan fesyen. Kolaborasi ini bukan sekadar tentang gaya, tetapi juga satu bentuk penghormatan kepada nostalgia dan budaya rakyat Malaysia.
Fesyen Bertemu Nostalgia
Gabungan antara jenama snek ikonik dan jenama fesyen terkenal ini telah menghasilkan koleksi edisi terhad yang menggabungkan elemen keseronokan, kreativiti dan kenangan zaman kanak-kanak. Melalui koleksi Mamee Monster x Christy Ng, peminat kini boleh mengekspresikan cinta mereka terhadap jenama tempatan melalui beg tangan bergaya sambil menikmati snek mi rangup kegemaran ramai.
“Kami ingin membawa Mamee Monster ke luar lorong snek dan masuk ke dalam dunia gaya hidup,” kata How Yuan Yi, Ketua Pegawai Pemasaran Mamee-Double Decker. “Kerjasama ini membolehkan kami menampilkan ikon biru kami dengan cara yang baharu dan menyeronokkan dari segi fesyen dan juga pek snek edisi khas.”
Rekaan Ceria yang Mencuri Perhatian
Koleksi beg eksklusif ini hadir dalam lima rekaan menarik termasuk tote, sling dan mini crossbody, yang memaparkan warna biru cerah dan grafik ceria yang sinonim dengan karakter Mamee Monster. Rekaan oleh Christy Ng ini diinspirasikan daripada pembungkusan asal Mamee Monster serta elemen riang yang dikenali semua.
“Matlamat kami adalah untuk mencipta sesuatu yang menyeronokkan, menarik perhatian dan mencetus perbualan,” jelas Christy Ng, pengasas jenama fesyen tersebut. “Ini lebih daripada sekadar beg, ia adalah simbol kenangan manis dan identiti tempatan.”
Snek dengan Kejutan Menarik
Lebih istimewa, snek edisi terhad ini juga hadir dengan permainan digital interaktif ‘Cari & Menang’. Di dalam setiap pek, pembeli berpeluang menemui kad kemenangan yang boleh ditebus untuk memenangi beg eksklusif atau baucar Christy Ng. Hanya imbas kod QR dan masukkan kod unik untuk mengetahui sama ada anda antara pemenang bertuah. Promosi ini berlangsung sehingga 31 Disember 2025.
Cara Mendapatkan Koleksi Ini
Bagi yang ingin mendapatkan koleksi ini, beg boleh dibeli secara terus di butik Christy Ng atau melalui laman web rasminya:
🔗 www.christyng.com/collections/christy-ng-x-mamee-monster
The Puffer Tote (RM149)
Diperbuat daripada bahan lembut dan berkilat dengan struktur berpad lembut, The Puffer Tote direka menyerupai pek perisa Mamee Monster yang ikonik.
Saiznya yang kompak menjadikannya mudah digayakan untuk pelbagai acara, manakala tali beg yang boleh ditanggalkan menambah elemen praktikal kepada rekaan ini.

The Bucket Tote Russo Mini – Mamee Monster Edition (RM169)
Model ikonik Russo Mini kini hadir dalam rona biru eksklusif yang diinspirasikan daripada Mamee Monster.
Beg ini menampilkan rekaan yang kemas dan elegan, sesuai untuk kegunaan harian. Setiap unit turut disertakan dengan Mamee Monster plush charm sebagai simbol keceriaan, serta pilihan penambahan nama atau inisial peribadi dengan caj tambahan sebanyak RM29.

The Large Canvas Tote (RM54)
Direka menyerupai bungkusan Mamee Monster bersaiz besar, The Large Canvas Tote menawarkan ruang luas untuk keperluan harian.
Bukan itu sahaja, beg ini juga diperbuat daripada bahan kanvas tahan lama dan dilengkapi lapisan kalis air. Ini sekaligus menjadikan beg ini lebih menonjol yang mana ia hadir gabungan antara fungsi dan elemen nostalgia yang menyeronokkan.

Nylon Bucket Tote (RM149)
Beg nilon ringan ini menampilkan cetakan wajah ikonik Mamee Monster dengan rekaan yang ringkas namun berkarakter. Ia turut disertakan dengan pesona berbentuk paket perisa Mamee Monster yang memberikan sentuhan unik serta mencerminkan semangat jenama tersebut yang penuh keceriaan.


Bagi yang berminat, kesemua beg daripada koleksi Mamee Monster X Christy Ng boleh didapati di semua butik Christy Ng di seluruh Malaysia serta secara atas talian bermula 6 Oktober 2025.
