Kuala Lumpur – Dalam landskap hiburan digital yang semakin sesak dan tidak menentu kandungannya, satu platform tempatan tampil berani mengubah norma: Durioo+, yang kini dikenali sebagai pencetus perubahan dalam penstriman kandungan keluarga Muslim.
Terbaru, Durioo+ sekali lagi mencuri perhatian apabila melancarkan versi eksklusif Bahasa Melayu bagi filem antarabangsa, Goldbeak The Movie sebuah animasi yang sarat dengan pengembaraan, emosi dan mesej kekeluargaan, namun kali ini diberi sentuhan Islamik yang unik dan penuh nilai.

Apa yang menjadikan versi ini istimewa bukan sekadar alih bahasa, tetapi bagaimana Durioo+ mengambil filem dari luar negara dan menyesuaikannya dengan nilai tempatan termasuk penambahan ucapan-ucapan seperti Alhamdulillah dan Allahuakbar, serta mesej positif yang sesuai dengan pembentukan sahsiah anak-anak Muslim.
“Saya kagum bila tengok bagaimana babak asal dialih suara oleh pasukan Durioo+. Ini bukan sekadar terjemahan, tapi benar-benar pengolahan semula yang menjaga sensitiviti budaya dan agama. Sangat berbaloi untuk anak-anak,” kata salah seorang penonton tayangan perdana.
Bukan Sekadar Filem – Ini Misi Membina Ummah
Apa yang dimulakan sebagai platform hiburan Islamik kini berkembang menjadi gerakan kandungan selamat untuk keluarga. Goldbeak The Movie menandakan filem ke-6 dari luar negara yang diolah oleh Durioo+ ke dalam Bahasa Melayu, dan sebahagiannya menggunakan teknologi AI untuk menyunting visual dan suara agar lebih mesra anak-anak.
Filem ini diarahkan oleh Nigel W. Tierney (pengarah yang pernah terlibat dalam Kung Fu Panda 3, How to Train Your Dragon 2), bersama Dong Long dari Liangzi Film (China), dan dibintangi oleh suara-suara terkenal seperti David Henrie dan Valkyrae.

Kisahnya mengisahkan Goldbeak, seekor helang yang dibesarkan oleh ayam, dalam pencarian identiti dan asal usulnya. Kisah yang menyentuh hati ini dipenuhi nilai keberanian, kekeluargaan dan pengorbanan sesuai untuk ditonton oleh semua peringkat umur.
Tontonan Berkualiti, Harga Berpatutan
Dengan pengenalan Durioo+ Movie Pack, penonton kini boleh menikmati 15 filem termasuk kandungan tempatan dan lebih 20,000 episod lain, semuanya tanpa iklan dan selamat untuk anak-anak, hanya dengan RM30 untuk tiga bulan pertama.
Langganan ini juga boleh digunakan pada empat peranti secara serentak satu lagi kelebihan buat keluarga besar yang mahu berkongsi satu akaun tanpa gangguan.
“Dengan hanya RM10 sebulan, kita boleh tonton filem yang bermanfaat, bukan sekadar hiburan kosong. Ini seperti bawa anak tengok wayang tapi lebih jimat dan lebih selamat, dari rumah sendiri,” ujar Nuown Zainal, pengasas bersama Durioo+.

Durioo+ Buktikan Hiburan Tidak Perlu Korbankan Nilai
Dalam dunia yang penuh dengan kandungan yang tidak ditapis, Durioo+ membuktikan bahawa hiburan berkualiti masih boleh dihasilkan bahkan dengan lebih baik apabila ia disaring melalui lensa agama dan budaya.
Dengan pelbagai pengiktirafan antarabangsa yang diterima oleh Goldbeak The Movie, termasuk pencalonan di Golden Rooster Awards China, ini merupakan satu lagi bukti bahawa kandungan Islamik tidak terhad kepada produksi lokal bahkan boleh datang dari luar, asalkan diolah dengan cermat.
Durioo+ bukan sekadar satu lagi platform penstriman. Ia kini menjadi simbol harapan untuk ibu bapa yang mahu membesarkan anak-anak dalam persekitaran digital yang selamat, mendidik dan menyeronokkan.
