KUALA LUMPUR – Selepas 26 tahun membina nama dalam industri makanan dan minuman (F&B), The Chicken Rice Shop (TCRS) kini tampil dengan wajah baharu menerusi penjenamaan semula berskala nasional.
Langkah itu bukan sekadar membabitkan perubahan identiti visual, sebaliknya mencerminkan usaha TCRS menyesuaikan jenama dengan perubahan gaya hidup masyarakat Malaysia yang semakin sibuk dengan tuntutan kerja dan keluarga.
Timbalan Pengurus Besar The Chicken Rice Shop Restaurants Sdn Bhd, Jane Wong berkata, penjenamaan semula berkenaan memberi peluang kepada TCRS untuk berkembang seiring keperluan pelanggan, tanpa mengetepikan nilai serta cita rasa tempatan yang menjadi asas jenama itu sejak 26 tahun lalu.

“Penjenamaan semula ini mencerminkan perkembangan TCRS dalam memenuhi keperluan pelanggan, di samping mengekalkan nilai dan cita rasa tempatan yang menjadi identiti jenama sejak 26 tahun lalu,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada transformasi itu, TCRS memperkenalkan maskot baharu, pakaian seragam kakitangan dan menu bercetak yang dikemas kini, selain beberapa hidangan serta barangan dagangan baharu.
Antara penawaran baharu ialah Sambal Chilli Crunch TCRS yang membolehkan pelanggan menikmati cita rasa restoran berkenaan bukan sahaja ketika menjamu selera di premis, malah di rumah.
Dalam meraikan ulang tahun ke-26, TCRS turut meneruskan kempen Merdeka tahunannya sehingga 20 September ini dengan menawarkan Merdeka Combo pada harga RM16.90.

Pakej berkenaan merangkumi satu hidangan ayam pilihan sama ada kukus, panggang atau sos soya, nasi ayam, pilihan keropok lekor atau rojak Penang serta minuman ringan 12 auns.
Menurut Wong, tawaran itu selari dengan usaha TCRS untuk memastikan pengalaman menjamu selera kekal mampu milik dan dekat dengan cita rasa masyarakat tempatan.
Daripada sebuah restoran yang mula beroperasi pada 2000, TCRS kini mempunyai lebih 160 cawangan di seluruh Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara jenama restoran kasual halal tempatan.
Pertumbuhan itu turut disusuli komitmen terhadap komuniti apabila TCRS menaja lebih 7,000 hidangan setiap tahun kepada rumah anak yatim, organisasi kebajikan dan taska di seluruh negara sejak 2000.
Dengan penjenamaan baharu itu, TCRS dilihat bukan sahaja mahu meraikan perjalanan selama 26 tahun, tetapi turut meletakkan asas untuk terus kekal relevan dalam landskap F&B yang sentiasa berubah.
