Putrajaya – Sempena Hari Merdeka 2026, 888 Tea & Coffee mengangkat secawan teh tarik sebagai simbol kebersamaan rakyat Malaysia menerusi pelancaran “Bersama Kita Tertarik”, sebuah kolaborasi lagu dan video muzik yang meraikan kepelbagaian budaya, identiti serta semangat perpaduan negara.
Dengan sokongan Tourism Malaysia, inisiatif ini mengetengahkan teh tarik sebagai lebih daripada sekadar minuman. Ia merupakan sebahagian daripada pengalaman hidup rakyat Malaysia dinikmati di gerai mamak, kopitiam, rumah dan pelbagai ruang pertemuan, sambil menjadi pencetus perbualan, persahabatan dan kenangan yang dikongsi bersama.
Konsep “Bersama Kita Tertarik” diinspirasikan daripada satu tradisi yang begitu dekat dengan rakyat Malaysia: teh yang ditarik. Proses tersebut bukan sahaja menghasilkan tekstur dan rasa tersendiri, malah menjadi metafora kepada bagaimana sesuatu yang sederhana mampu “menarik” masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk duduk bersama, berinteraksi dan berkongsi pengalaman.

Semangat ini diterjemahkan menerusi kolaborasi tiga nama tempatan Alif Satar & The Locos, Danny Koo dan Kidd Santhe yang menggabungkan identiti, gaya muzik serta latar budaya berbeza dalam satu karya. Kepelbagaian mereka mencerminkan wajah Malaysia yang terdiri daripada pelbagai komuniti, namun tetap berkongsi pengalaman, tradisi dan detik yang menyatukan.
“Bersama Kita Tertarik” dilancarkan menjelang Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2026 sebagai satu peringatan bahawa semangat Merdeka bukan sekadar tentang meraikan sebuah negara, tetapi juga tentang menghargai kepelbagaian, saling menghormati dan mencari titik persamaan yang menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia.
Alvin Ang See Ming, Pengarah Eksekutif 888 Tea & Coffee berkata, “Sebagai jenama tempatan Malaysia yang bermula sebagai pengeluar dan pedagang teh yang diwarisi secara turun-temurun, kami melihat teh bukan sekadar produk, tetapi sebahagian daripada budaya, kenangan dan detik yang dikongsi bersama. Melalui ‘Bersama Kita Tertarik’, kami ingin meraikan perkara yang sederhana tetapi dekat di hati rakyat Malaysia duduk bersama, berbual dan menikmati secawan teh tarik tanpa mengira latar belakang.”

Kerjasama bersama Tourism Malaysia turut memperluaskan cerita ini kepada khalayak antarabangsa. Selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026–2027, teh tarik diketengahkan sebagai salah satu pengalaman kulinari yang membolehkan pelancong mengenali Malaysia melalui rasa, cara penyediaan, interaksi sosial dan keramahan masyarakat tempatan.
Mohd Akbal Setia, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi), Tourism Malaysia berkata, “Teh tarik telah menjadi sebahagian daripada jiwa dan gaya hidup Malaysia. Daripada restoran kejiranan dan kopitiam hinggalah ke rumah, teh tarik menyatukan masyarakat merentasi komuniti dan generasi. Keunikan rasa, cara penyediaan serta pengalaman menikmatinya menjadikan teh tarik satu pengalaman budaya yang boleh dikongsi bersama pelancong dari seluruh dunia.”
Bersempena tayangan perdana video muzik tersebut, 888 Tea & Coffee turut memperkenalkan 888 Teh Tarik Malaysia, yang menawarkan pengalaman teh tarik dalam format lebih mudah dinikmati mengikut gaya hidup masa kini.
Dihasilkan menggunakan formulasi istimewa berasaskan ekstrak teh premium tanpa pewarna tiruan, 888 Teh Tarik Malaysia menampilkan tekstur lembut dan aroma yang sinonim dengan teh tarik tradisional. Produk ini membolehkan pengalaman minuman kegemaran rakyat Malaysia dinikmati pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1942, 888 Tea & Coffee telah berkembang daripada perniagaan teh kepada pengeluar dan pembekal pelbagai produk makanan dan minuman, termasuk teh segera, kopi, bijirin sarapan serta minuman coklat malt.
Melalui “Bersama Kita Tertarik”, 888 Tea & Coffee bukan sekadar menghidangkan sebuah lagu atau memperkenalkan produk baharu. Ia mengangkat satu pengalaman yang sudah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia kerana kadangkala, perpaduan bermula dengan sesuatu yang paling sederhana: duduk semeja, berkongsi cerita dan menikmati secawan teh tarik bersama.
