KLANG – Cold Storage kini memperluaskan kehadirannya di Klang dengan pembukaan cawangan premium ke-16 di Klang Parade, menawarkan rangkaian barangan runcit gourmet, produk antarabangsa serta pilihan makanan berkualiti kepada penduduk setempat.
Pembukaan cawangan baharu itu memberi kemudahan kepada pengguna di Klang untuk mendapatkan pelbagai bahan makanan istimewa dan produk premium tanpa perlu keluar dari kawasan berkenaan.
Terletak di Klang Parade, cawangan tersebut menawarkan akses kepada hasil segar yang diterbangkan dari luar negara, barangan keperluan pantri antarabangsa serta produk artisan yang memenuhi keperluan pengguna yang mementingkan kualiti dan kepelbagaian makanan.

Majlis perasmian pembukaan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd., Cheah Yong Hock, bersama Ketua Pegawai Operasi SDPL Property Management Sdn. Bhd., Jensen Lim; Ketua Unit Bekalan KPDN Selangor, Azli Bin Aripin; serta Pengarah Pelesenan Majlis Bandaraya Diraja Klang, Mohd Izzat bin Mokhtar.
Menurut Cheah, pembukaan cawangan berkenaan mencerminkan komitmen Cold Storage untuk membawa produk makanan bertaraf dunia lebih dekat kepada pengguna di Klang.




“Warga Klang yang mementingkan kepelbagaian makanan dan kualiti sememangnya layak mendapatkan akses terus kepada bahan-bahan terbaik dari seluruh dunia.
“Apabila anda melangkah masuk melalui pintu ini, kami bukan sekadar menjual makanan, tetapi memperkenalkan pelanggan kepada dunia makanan itu sendiri, di mana setiap produk mempunyai cerita, asal-usul serta standard kualiti yang tidak boleh dikompromi,” katanya.
Beliau berkata, dengan pembukaan cawangan berkenaan, pengguna di Klang kini mempunyai akses yang lebih mudah kepada pengalaman membeli-belah barangan runcit premium di kawasan mereka sendiri.


Selain rangkaian barangan runcit, Cold Storage Klang Parade turut menawarkan konsep Ready-to-Eat (RTE) yang menyediakan pilihan hidangan panas dan makanan segera untuk pelanggan.
Antara pilihan yang disediakan termasuk ayam goreng daripada Uncle Jack, produk bakeri yang baru dibakar serta kopi di Mercato Cafe, selain hidangan Jepun yang segar dan berpatutan daripada Kyojin Sushi.
Cawangan itu turut menempatkan MyChemistHub, yang menyediakan pelbagai keperluan kesihatan harian, penjagaan diri dan barangan farmasi di bawah satu bumbung.




Pembukaan Cold Storage Klang Parade turut disusuli pelbagai promosi pelancaran eksklusif untuk pelanggan, termasuk tawaran istimewa bagi produk import bermusim serta hadiah dengan pembelian.
Dengan konsep yang menggabungkan barangan runcit premium, makanan sedia dimakan serta keperluan kesihatan dan penjagaan diri, pembukaan cawangan baharu itu dijangka memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna di Klang dalam mendapatkan produk berkualiti dari dalam dan luar negara.
