IMG-20260910-WA0046

KUALA LUMPUR — TV AlHijrah terus memperkukuh kedudukannya dalam landskap penyiaran digital dengan memperkenalkan empat karya baharu menerusi platform penstriman AlHijrah Plus (AH+), yang mengetengahkan kisah sarat nilai kemanusiaan, keadilan, keinsafan dan elemen patuh syariah.

Empat karya berkenaan terdiri daripada dua telefilem dan dua drama bersiri, sekali gus mencerminkan pendekatan baharu TV AlHijrah dalam menawarkan kandungan fiksyen Islamik yang lebih segar dan dekat dengan citarasa penonton masa kini.

Menariknya, kesemua karya berkenaan akan diberikan tayangan premium secara eksklusif menerusi AH+ terlebih dahulu sebelum disiarkan di saluran televisyen seminggu kemudian.

Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Nadzariah Mohamed berkata, setiap naskhah yang dipilih melalui proses tapisan oleh panel penasihat syariah bagi memastikan kandungan yang diketengahkan kekal selari dengan matlamat stesen dalam menyediakan hiburan beretika tanpa menjejaskan kualiti penceritaan.

Menurutnya, pendekatan itu turut membuktikan bahawa karya berteraskan Islam dan patuh syariah mampu dihasilkan dalam bentuk yang berkualiti, segar serta mampu menarik perhatian penonton daripada pelbagai peringkat usia, khususnya golongan muda.

Empat karya tersebut ialah Bersuara Tapi Tak Didengar, Mistik Bilik Mayat, Ghost Buskers dan Azan Terakhir Seorang Banduan, masing-masing membawa tema serta pendekatan penceritaan berbeza.

Bersuara Tapi Tak Didengar yang berdurasi 120 minit arahan Heykal Hanifah mengisahkan cabaran seorang peguam muda yang berdepan sindrom Tourette. Telefilem itu mula ditayangkan pada 6 September lalu dan menampilkan Nafiz Muaz, Rusdi Ramli serta Dato’ Hilal Azman.

Sementara itu, drama bersiri lapan episod Mistik Bilik Mayat arahan Rashid Sibir bakal menemui penonton bermula 22 September hingga 26 Oktober.

Drama berkenaan mengangkat persoalan mengenai kematian dan kepercayaan mistik dari perspektif Islam, dengan barisan pelakon antaranya Khir Rahman, Siti Elizad, Omar Abdullah dan Datuk Fauziah Nawi.

Kelainan turut ditampilkan menerusi Ghost Buskers, sebuah siri terbitan Sha’s Media arahan Eoon Shuhaini yang menggabungkan elemen nasyid, dakwah, ruqyah serta penyiasatan paranormal dalam kerangka patuh syariah.

Siri yang menampilkan kumpulan UNIC bersama Nabila Razali, Sharifah Rose dan Jazmy Juma itu dijadualkan bersiaran dari 20 Oktober hingga 16 November.

Melengkapkan barisan karya baharu ialah telefilem Azan Terakhir Seorang Banduan arahan Jamal Khan yang bakal ditayangkan pada 11 Oktober.

Dibintangi Redza Rosli, Rosnah Johari, Zaidi Omar dan Amir Khan, karya itu mengetengahkan kisah keinsafan seorang bekas banduan yang mencari ketenangan di sebuah surau.

Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar berkata, penghasilan karya berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi stesen untuk menyediakan alternatif kandungan fiksyen berteraskan nilai Islam kepada penonton tempatan.

Katanya, drama bukan sekadar medium hiburan, sebaliknya boleh menjadi ruang untuk penonton melihat dan memahami realiti kehidupan menerusi persoalan seperti prasangka, keadilan, kepercayaan, taubat dan peluang kedua.

Dengan wajah baharu platform AH+ serta sokongan lebih 300,000 peminat, TV AlHijrah optimis untuk terus mengembangkan ekosistem penyiaran digital Islam dan memperluaskan penghasilan kandungan kreatif yang mampu memenuhi keperluan penonton masa kini.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading