Kuala Lumpur – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, mencemar duli hadir ke Tropicana Golf & Country Resort untuk beraksi dalam Golf Piala Amal Raja Muda Selangor 2024. Program di bawah Selangor Youth Community (SAY), dengan kerjasama Titijaya Land Berhad dan Selangor FC (SFC) itu berjaya mengumpul RM1.2 juta yang akan dibelanjakan untuk pembangunan belia negeri Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif SAY, Aiman Nazri berkata, acara ini merupakan kejohanan kali kedua dianjurkan NGO tersebut.
Menurutnya, program amal itu bertujuan memberi peluang kepada golongan belia memerlukan antaranya bekas banduan, bekas penagih dadah atau individu masih belum mendapat pekerjaan.

“Ini tahun kedua dan ada rancangan untuk tahun ketiga. Tahun lalu (2023) kami berjaya kumpulkan sehingga RM800,000 dan Alhamdulillah kali ini mencecah RM1.2 juta.
“Kami sasarkan 200 lagi golongan belia yang datang daripada pelbagai latar belakang supaya kami dapat bantu mereka dapatkan peluang pekerjaan, pendidikan dan sebagainya,” katanya.
Tambahnya, usaha ini antara langkah mendapatkan dana bagi badan bukan kerajaan (NGO) itu yang di bawah naungan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin. Kejohanan kali ini bukan sahaja meraikan sukan golf tetapi juga dapat mengeratkan lagi perpaduan sesama komuniti belia secara kolektif.
Sebanyak 132 pemain daripada sektor kerajaan dan swasta menyertai kejohanan ini, dengan suasana meriah di padang Tropicana Golf & Country Resort. Sumbangan mereka memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan Program di bawah SAY.
Program ini juga kerjasama dengan The King’s Trust International, di bawah naungan D.Y.M.M. Raja Charles III, inisiatif ini telah memberi kesan yang baik kepada 353 belia dalam tempoh tiga tahun terakhir.

SAY berharap dapat mencapai lebih ramai belia dalam usaha membina masa depan yang lebih cerah melalui pendidikan dan pemerkasaan berstruktur selama enam bulan selepas program.
Dengan harapan untuk membuka potensi belia yang berisiko, kejohanan ini adalah bukti kuasa kebaikan bersama yang mampu membawa perubahan positif dalam masyarakat, satu kehidupan belia pada satu masa.
Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya Land Berhad, Datuk Lim Poh Yit memberitahu, acara ini bukan sahaja menunjukkan semangat perpaduan tetapi juga menggariskan kepentingan kritikal kedermawanan dan tanggungjawab sosial.
“Setiap hayunan dan pukulan yang direkodkan hari ini menyumbang kepada usaha murni memperkasakan belia yang kurang bernasib baik di Malaysia melalui Program TEAM Malaysia,” katanya.
