SUBANG JAYA – Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) dengan kerjasama AstraZeneca, memperkenalkan penyelesaian patologi berkomputer pertama di Malaysia, yang menggunakan pengimejan berbantukan AI bagi menyokong proses semakan sampel tisu yang telah didigitalkan dalam ujian kanser payudara untuk pesakit di negara ini. Inisiatif ini merupakan satu kemajuan ke arah pendigitalan perkhidmatan patologi dan penerapan teknologi canggih secara bertanggungjawab dalam amalan klinikal harian.
Peningkatan beban penyakit ini menekankan lagi keperluan terhadap diagnosis yang tepat dan konsisten. 1 Kemunculan terapi baharu untuk kanser payudara yang mempunyai tahap Reseptor Faktor Pertubuhan Epidermis Manusia-2 (Human Epidermal Growth Factor Receptor 2, HER2) yang rendah dan ultrarendah, menjadikan ujian HER2 yang tepat dan konsisten semakin penting untuk pesakit di Malaysia. 1 Ujian ini membantu doktor memahami tahap HER2 dalam sampel kanser dan menyokong keputusan untuk menentukan rawatan yang bersesuaian.1 Pentafsiran keputusan ini sememangnya mencabar kerana perbezaan kecil pada rupa sampel di bawah mikroskop boleh mempengaruhi konsistensi penilaian HER2.1
Kerjasama ini menyokong integrasi patologi digital dengan analisis berbantukan AI, bagi membantu pakar patologi menilai HER2 dalam kanser payudara melalui sampel tisu yang diimbas secara digital. Menggunakan perisian AI HER2 Mindpeak, alat ini direka untuk meningkatkan konsistensi dan kebolehpercayaan laporan patologi, di samping menjadi sebahagian daripada laluan diagnostik sedia ada serta menyokong pertimbangan klinikal profesional.
Pakar patologi SJMC turut menjayakan kajian pemerhatian multinasional yang dijalankan bersama rakan teknologi untuk mengesahkan keberkesanan penyelesaian berbantukan AI ini. Pelaksanaan inisiatif ini memanfaatkan aliran kerja patologi digital SJMC, di mana slaid patologi didigitalkan secara rutin menggunakan teknologi pengimejan slaid penuh. Penyelesaian patologi berkomputer yang digabungkan ke dalam aliran kerja digital, membolehkan penilaian berbantukan AI dilakukan, selain memastikan semua tafsiran akhir tetap berada di bawah pengawasan dan pertimbangan profesional pakar patologi yang berkelayakan.

Bukti saintifik menunjukkan potensi nilai patologi berbantukan AI ini. Satu kajian antarabangsa yang melibatkan pakar patologi mendapati bahawa penilaian HER2 berbantukan AI bagi kes kanser payudara digital meningkatkan kesepadanan dengan skor rujukan2, di samping mengurangkan kesilapan pengelasan antara HER2 ultrarendah dengan HER2 sifar secara signifikan.3 Penyelidikan yang telah diterbitkan turut mencadangkan bahawa patologi berkomputer berbantukan AI boleh membantu meningkatkan keselarasan dan konsistensi dalam kalangan pakar patologi.4,5
Selain menyokong penilaian yang lebih konsisten, pendekatan patologi berkomputer menggunakan aliran kerja berbantukan AI juga boleh menyokong usaha memperluaskan pendigitalan makmal dan aliran kerja harian dalam perkhidmatan patologi.6 Ini akan membantu pasukan patologi menguruskan jumlah kes yang semakin meningkat sambil mengekalkan standard kualiti.6 Bahkan, ketersediaan keputusan diagnostik yang tepat pada masanya dapat menyokong perancangan rawatan dalam laluan penjagaan klinikal standard.6
Bryan Lin, Ketua Pegawai Eksekutif Serantau di Asia OneHealthcare dan Ketua Pegawai Eksekutif SJMC, berkata, “Kerjasama dengan AstraZeneca ini menyerlahkan komitmen SJMC untuk memajukan perubatan tepat dan memperkukuhkan perkhidmatan penjagaan kesihatan menerusi teknologi. Dengan menerapkan teknologi baharu serta menyumbang kepakaran klinikal dan data daripada pakar patologi kami untuk menyokong pengesahan penyelesaian ini, SJMC sebagai hospital pertama di Malaysia yang memperkenalkan penyelesaian patologi berkomputer – akan terus melabur dalam inovasi yang memacu kemajuan perkhidmatan makmal dalam bidang patologi dan diagnostik, sekali gus memberi manfaat kepada doktor dan pesakit melalui maklumat diagnostik yang boleh dipercayai.”
“Walaupun patologi berkomputer telah dibincangkan secara meluas, tetapi penggunaannya dalam amalan diagnostik klinikal harian masih sukar dilaksanakan di pelbagai sistem penjagaan kesihatan.6 Kerjasama ini menandakan komitmen bersama untuk melangkaui perbincangan teori dan menyokong pelaksanaan teknologi secara bertanggungjawab dalam situasi sebenar, yang melengkapi kepakaran klinikal serta mampu meningkatkan keyakinan terhadap diagnosis,” kata Dr Svetlana Yanchuk, Presiden AstraZeneca Malaysia.
“Kerjasama ini mencerminkan peranan AstraZeneca yang komited menyokong kemajuan teknologi baharu dalam bidang biomarker dan diagnostik tepat. Melalui kerjasama dengan institusi penjagaan kesihatan seperti SJMC dan rakan teknologi, kami menyumbang pandangan saintifik dan pengalaman penyelidikan global untuk membantu mempercepatkan penerapan inovasi berasaskan bukti ke dalam pelbagai sistem kesihatan,” tambahnya.
Pengenalan penyelesaian patologi berkomputer ini menunjukkan bagaimana kerjasama antara penyedia penjagaan kesihatan, industri dan rakan teknologi dapat menyokong penerapan inovasi digital secara bertanggungjawab dalam diagnostik klinikal. SJMC dan AstraZeneca akan terus memberi tumpuan kepada pendidikan awam, bukti saintifik serta pematuhan terhadap standard klinikal sedia ada, seiring perkembangan patologi berkomputer di Malaysia.
